MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA,MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS

Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun 2011, mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2010 bertarikh 25 Januari 2010.

Strategi utama memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.

Manakala strategi utama memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris, penyediaan guru dan bahan yang mencukupi lagi berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.



Untuk mendapatkan maklumat mengenai Dasar MBMMBI, sila klik pautan berikut  :



Dasar MBMMBI Murid Tahun Satu Mulai 2011

Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan dasar baru iaitu memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, murid tahun satu yang baru memasuki persekolahan tidak terlibat dengan dasar lama.

Tambah beliau lagi, perkara ini bergantung kepada beberapa faktor antaranya bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk mata pelajaran sains dan matematik sekiranya ia dapat disiapkan pada akhir tahun 2010, kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar MBMMBI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula akan bermula pada tahun 2012.

Langkah itu, katanya, adalah untuk membolehkan Kementerian Pelajaran membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran disediakan secara teratur.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sumber : Kosmo online 21 oktober 2009


MBMMBI Mampu Bela Pelajar Tercicir

Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.

Akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.

Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.

Mereka juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.

Sumber : Berita Harian




1 ulasan: